Tuesday, 3 September 2013

Cerita Merdeka

Malam ini luar biasa. Dimana-mana ada manusia. Ada yang sibuk menguji kepantasan motosikalnya. Yang di hospital kerajaan sedang mengira katil untuk bakal pesakit. Mungkin katil di hujung sana untuk peminum todi yang terhumban ke longkang. Si jantan memegang lembut tangan si dara yang dikenali di laman sosial dengan hati yang rakus. Penyokong radikal parti politik mungkin sedang mengintip kelemahan yang mungkin pihak lawan tunjukkan di negeri jajahan masing-masing. Mungkin sebagai modal pilihanraya laman sosial. Nun di hujung kampung sekumpulan pemuda berkain pelikat berbaju melayu baru selesai kenduri kesyukuran. Seperti biasa bilangannya sedikit. Yang berhimpit melihat percikkan api di langit, tersentuh bukan muhrim tidak mengapa asalkan jiwa merdeka. Yang baru balik kerja cadangnya tidur selepas mandi. Mungkin dingin air boleh sejukkan hati yang terbakar sebab terlibat dalam kesesakkan lalu lintas. Yang kaya dengan cara kaya, yang sederhana cuba berlagak kaya. Gelandangan bagai masih duduk diam memandang kehidupan dengan baju koyak rabak dan jiwa yang bebas. Udin dan Zahar baru berhabis duit pinjaman peribadi petang tadi. Tukar pembesar suara yang berharga sebulan gajinya. Kereta nasional mereka harus ditayangkan malam ini jika tidak rugi gaji dipotong sepuluh tahun. Beribu cara sambutan. Anda bagaimana? Selamat hari merdeka.


Nota Kaki: Aku baru buat blog ni hari ni tapi aku tulis ni pada malam merdeka. 

No comments:

Post a Comment