Usah kata mereka tua! Mereka itu hanya banyak pengalaman dan banyak usia.
Usah kata mereka nyanyuk! Mereka takut hilang fungsi dan dikata tidak berguna oleh anak yang mangkuk.
Usah kata kerana mereka hidup kamu rumit! Tangan mereka yang suap dodoikan dari kamu kenit hingga genit.
Usah kata mereka busuk! Bersyukurlah kamu jadi anak mereka dan bukan anak beruk.
Usah kata mereka itu merimaskan! Tahukah kau mereka itu gelisah bila tak nampak anak-anak kesayangan. Hati mereka tak tenang. Tidur tak lena, tak kenyang makan.
Hari ini kamu muda, nanti hari kamu tua. Hari ini kamu seperti kamu, pasti nanti kamu juga seperti mereka.
Pada yang derhaka pulanglah pohon kemaafan. Pada yang tidak derhaka pulanglah pohon keberkatan.
Bonda sisir rambut anakanda. Bonda goreng karipap kentang. Bonda jahit seluar koyak di kankang. Bonda selimutkan anakanda yang demam. Lembut bonda anakanda rindu. Anakanda yang sekarang adalah kerna lembut bonda.
Ayahanda keras. Keras itu juga anakanda rindu. Keras ayahanda dulu anakanda benci tapi sekarang anakanda cari. Keras ayahanda keras mendidik. Ayahanda mahu anakanda jadi terbaik. Anakanda gagal ijazah harapan tapi anakanda tebus dengan ijazah jalanan. Pedih rotan ayahanda anakanda bawa. Pedih itu mencipta sempadan. Sempadan nafsu dan sempadan iman. Terima kasih ayahanda berikan pedih untuk anakanda. Pedih itu hilang pedihnya. Pedih itu manis rasanya.
Tidak anakanda kaya harta tapi anakanda kaya jiwa. Tidak ayahbonda bekalkan berlian tapi ayahbonda bekalkan pedoman.
Kini anakanda menjadi ayahanda. Baru anakanda rasa pedih dan manis. Ampunkan anakanda lewat memahami. Anakanda sudah mampu berdikari.
No comments:
Post a Comment